Apa Itu Ekzema?

Anak sulung saya, Muhammad, 2 tahun merupakan seorang pesakit Ekzema yang agak kritikal.
Muhammad pada usia 8 bulan

Jari membengkak, kering, ruam merah yang mengeluarkan air bisa.

Tanda-tanda awal sudah mulai kelihatan ketika masih dalam pantang lagi. Sebagai seorang ibu, pada mulanya saya agak risau. Tapi, apabila orang sekeliling hanya memberitahu, "Ahhh, biasa la tu. Ruam susu, ruam kulit.. bayi memang selalu kena macam ni", saya berasa lega. Tambahan pula mereka terlebih cakna dengan memberi krim-krim yang berunsurkan steroid untuk disapu pada kulit bayi. Tahukah anda apa itu steroid? InshAllah, saya akan kupaskan pada entry yang berikutnya.

Sekarang, sebagai seorang ibu kepada eczemafighter, saya pada awalnya sangat-amat menyesal kerana pada masa tu saya sangat jahil tentang sejenis penyakit kulit ini, EKZEMA. Sejarah keluarga kami tidak pernah ada seorang pun yang mengalami masalah kulit seperti ini, tak pernah ada orang bercerita pun dekat sekolah atau tempat kerja. So, memang zero pasal Ekzema.

Kenapa saya kata sangat-amat menyesal?

Kerana penghidap sakit Ekzema ni yang paling penting ialah ILMU. Dalam kes Muhammad ni, ummi dan abah dialah yang bertanggungjawab dapatkan ilmu tentang Ekzema.

Tak kenal, tak tahulah. Bila tak tahu, Ekzema tak hilang-hilang... So, jom kita berkenalan dulu dengan apa itu Ekzema?

Apa Itu Ekzema?

Ekzema ni sebenarnya adalah satu term yang digunakan untuk merujuk kepada keadaan di mana kulit mengalami keradangan dengan bengkak, gatal dan ruam merah yang nampak seperti kulit melecur yang berair dan menyebabkan keGATALan.



Ekzema biasanya terjadi pada bayi atau kanak-kanak. Orang dewasa juga tidak terkecuali. Malahan, rawatan ekzema untuk orang dewasa sebenarnya adalah lagi mencabar jika dibandingkan dengan kanak-kanak.

Ekzema terjadi di bahagian anggota badan seperti muka, pergelangan tangan, siku, lutut dan juga bahagian-bahagian pelipat.



Ekzema yang biasanya terjadi dikenali sebagai atopic dermatitis atau atopic eczema. Semasa kami membawa Muhammad berjumpa dengan doktor, dia memang disahkan menghidap Atopic Eczema.

Ekzema ni berjangkit ke???

Tidak! Ekzema bukanlah penyakit berjangkit.

Apa Punca Ekzema?

Jika dilihat sekarang, penyakit Ekzema semakin meningkat di kalangan masyarakat kita dan punca utama bagi penyakit ini belum dapat disahihkan lagi.

Pun begitu, terdapat beberapa punca yang boleh dikaitkan dengan Ekzema, iaitu:

1. Pesakit mempunya sejarah keluarga yang mempunyai penyakit asma, Ekzema atau allergi

2. Faktor pemakanan - makanan/minuman beralkohol, makanan laut, hasil tenusu, pengawet makanan, makanan berasaskan gluten dsb.

3. Alahan terhadap persekitaran - sabun, udara yang tercemar, asap rokok, habuk, hama daripada haiwan peliharaan dsb.


Cara Mengenal Ekzema

1. Terdapat tompok-tompok yang gatal, kekeringan kulit pada tangan, leher, muka dan kaki.

2. Kemerahan, kulit bersisik dan pertukaran warna kulit.

3. Bengkak kecil yang berair.

Bagaimana Cara hadapi Ekzema?


Sebetulnya, setelah berpengalaman menghadapi Ekzema anak sulung saya, Muhammad, tidak ada satu ubat yang spesifik bagi penyakit ini kerana ianya bukanlah hanya sekadar penyakit kulit luaran semata. Ia melibatkan banyak perkara. Terdapat 2 unsur penting sebagai cara untuk menghadapi Ekzema:

1. Kawal tahap keterukan Ekzema melalui cara pemakanan/persekitaran.

2. Rawat keradangan sedia ada dengan krim-krim yang bersifat organik dan bebas steroid.

InshAllah, saya akan kongsi dengan lebih terperinci tentang cara-cara menghadapi Ekzema berdasarkan pengalaman dengan si anak kecil Muhammad the eczemafighter.